Semasa

Daftar dulu, jangan risau yuran pendaftaran kemasukan universiti – Timb Menteri KPT

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi mengingatkan pelajar dan keluarga kurang berkemampuan agar tidak risau mengenai bayaran yuran pendaftaran kemasukan ke universiti awam.

Ia berikutan kementeriannya telah mengeluarkan arahan kepada semua universiti awam untuk memastikan pelajar kurang berkemampuan yang ditawarkan tempat diterima masuk walaupun belum membayar yuran.

Menurut Datuk Mustapha Sakmud, kelonggaran itu diberikan bagi memastikan pelajar berkenaan tercicir hanya kerana gagal membayar yuran pendaftaran.

“Pelajar dan ibu bapa jangan risau jika tiada kemampuan untuk membayar yuran pendaftaran sebab pihak kementerian sudah mengarahkan semua universiti awam untuk menerima kemasukan pelajar tanpa yuran pendaftaran.

“Yuran pendaftaran boleh dibuat selepas mendaftar dengan pelbagai kaedah,” katanya.

Terdahulu beliau mengadakan kunjungan bagi menyampaikan surat tawaran memasuki universiti dan sumbangan kepada beberapa pelajar kurang berkemampuan di Kota Belut.

Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) sebanyak RM1,500 daripada PTPTN diserahkan bagi membantu pelajar membuat persediaan awal pendaftaran di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Manakala wakil KEADILAN Cabang Kota Belud dan wakil Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang turut hadir menyumbangkan bantuan wang tunai dan bakul makanan kepada pelajar terbabit.

BACA LAGI: Kementerian Pendidikan Tinggi mudahkan pendaftaran universiti pelajar B40

Kementerian Pendidikan Tinggi pada minggu lalu mengarahkan penangguhan pembayaran itu bagi golongan tidak berkemampuan. Pihak universiti juga perlu menguruskan bantuan awal pengajian melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada pelajar terbabit.

“Secara keseluruhan seramai 156 pelajar dari daerah ini menerima WPP daripada PTPTN untuk meringankan beban mereka dan keluarga membayar yuran pendaftaran,” tambah Mustapha.

Related Articles

Back to top button