Setuju cadangan Ahli Parlimen difitnah dalam Dewan Rakyat bawa kes ke Mahkamah – Johari
Johari setuju cadangan benarkan individu difitnah dalam Dewan Rakyat bawa kes ke Mahkamah
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul bersetuju dengan cadangan supaya keistimewaan institusi Parlimen ditambah baik bagi memberi hak kepada ahli Parlimen mempertahankan diri daripada sebarang fitnah pada perbahasan dalam Dewan Rakyat.
Mengulas cadangan dilontarkan Pakar Perlembagaan, Prof Datuk Dr Shamrahayu A Aziz mengenai perkara itu Johari berkata, penambahbaikan itu wajar untuk memastikan kredibiliti institusi Parlimen terpelihara.
“Saya amat bersetuju, saya banyak mengikuti persidangan Parlimen negara lain di mana isu politik tidak banyak dimainkan ketika berbahas. Walaupun terdapat isu substantif, ia diungkap dan dibahaskan secara matang.
“Tetapi di sini, kita sering menggunakan isu substantif untuk berpolitik… itu yang tidak baik.
“Saya rasa kita perlu mengambil langkah (moved).Walaupun mungkin ia bukan langkah yang popular, tetapi kita perlu melaksanakannya… kerana dari segi karakter, sikap memfitnah ini adalah tidak baik,” katanya kepada pemberita.
Johari sebelumnya merasmikan penutupan Program Libat Urus Mesyuarat Ketiga Sidang Dewan Rakyat bersama Pengamal Media di Bangunan Parlimen pada Rabu.
Terdahulu Shamrahayu dalam satu program di Parlimen pada Rabu menyarankan agar keistimewaan institusi Parlimen, khususnya Perkara 63 (4) dan (5) Perlembagaan Persekutuan berkaitan dengan keistimewaan Ahli Parlimen ditambah baik.
BACA LAGI: Jangan ‘tunggang’ Parlimen untuk promosi diri sendiri
Menurutnya, antara penambahbaikan itu adalah mana-mana pihak yang terkesan oleh ucapan dalam sidang Parlimen, yang boleh menjejaskan reputasi atau mendatangkan fitnah boleh mengambil tindakan di mahkamah.
Selain itu, had perlu ditetapkan agar mana-mana ahli Parlimen tidak melanggar Akta Hasutan semasa sesi perbahasan sekaligus memastikan keadilan semua pihak.