PRK Mahkota: rakyat jemu dengan pendekatan politik ‘syok sendiri’ pembangkang
Kemenangan bergaya Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota adalah bukti jelas bahawa rakyat menolak politik ‘syok sendiri’.
Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub pada program temubual disiarkan Sinar pada Sabtu berkata, pendirian rakyat itu dapat dilihat melalui keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota yang menyaksikan calon mewakili blok Kerajaan Perpaduan menang dengan mendapat sokongan besar pengundi.
“Kita lihat majoriti lebih 20,000, ia menjadi satu isyarat jelas kepada PN untuk ubah kepada realiti politik semasa.
“PN perlu perkembangan serta perbaiki strategi politik dan jangan hanya syok sendiri,” katanya dipetik program bertajuk ‘Biru yang Mana Satu?’ .
Program itu berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf Shah Alam dihoskan Haizir Othman dan turut menampilkan Pensyarah Komunikasi Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), Immie Rozianie Abd Rahim.
Mengulas lanjut Mohammad Tawfik berpandangan Barisan Nasional (BN) yang kini sebahagian komponen dalam Kerajaan Perpaduan telah bermuhasabah dari kekalahan dialami mereka pada Pilihan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan mengubah strategi politik mereka.
BACA LAGI: Angkatan Muda Harapan gesa pembangkang henti main drama politik
“Politik yang dekat dengan rakyat adalah memahami intipati isi hidup rakyat. Politik itu sangat penting.
“Apabila rakyat selesa dengan sesiapa sahaja (pemerintah) dan kehidupan mereka tidak diganggu maka mereka akan memihak kepada kerajaan. Itu sifir mudah dalam politik,” katanya.
Beliau juga menambah, BN juga dilihat telah memahami kerjasama politik yang perlu dilakukan bersama parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan bagi meraih kemenangan pada siri-siri PRK akan datang.