Semasa

Penerima STR di Sabah, Sarawak tiada akaun bank terima bantuan secara terus – PM Anwar

Kerajaan MADANI akan melaksana agihan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) secara tunai kepada penerima di Sabah dan Sarawak yang tidak mempunyai akaun bank.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui ucapan di Program MADANI Rakyat 2024 Sarawakku Sayang di Miri pada Sabtu berkata, usaha itu bagi memastikan rakyat yang layak menerima sumbangan itu tidak tercicir.

“STR untuk Sarawak ini melibatkan 28,944 orang, yang bermaksud setiap keluarga akan menerima sumbangan daripada kerajaan.

“Ada tuai-tuai rumah memaklumkan bahawa di rumah panjang, ramai tidak mempunyai akaun bank.

“Terdapat 500,000 penerima STR (di negeri ini) yang layak tetapi tidak memiliki akaun bank,” katanya.

Sementara itu Anwar turut menegaskan bahawa pentadirannya berusaha memastikan kemudahan kesihatan di negeri itu ditingkatkan.

Sehubungan itu beliau mengumumkan beberapa Klinik Kesihatan di Miri termasuk Klinik Kesihatan Long Bemang, Klinik Kesihatan Tudan dan Klinik Kesihatan Jambatan Suai akan dibaik pulih.

BACA LAGI: Kabinet setuju dua inisiatif bantuan subsidi tiket penerbangan diteruskan

“Beberapa klinik lain seperti Klinik Kesihatan Taman Negara Mulu dan Klinik Kesihatan Beluru juga akan dibaik pulih.

“Dana bagi projek itu sudah tersedia namun kami berdepan cabaran untuk mempercepatkan pelaksanaannya,” katanya sambil memberi jaminan kerajaan akan memberi perhatian terhadap perkara itu.

Related Articles

Back to top button