Semasa

KUSKOP yakin Belanjawan 2025 terus beri keutamaan bantu PMKS

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menjangkakan Belanjawan 2025 akan terus memberi keutamaan kepada pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, pihaknya berharap peruntukan yang bakal diumumkan pada belanjawan itu dapat memberi usahawan peluang untuk mengembangkan perniagaan mereka selain memberi lebih banyak peluang latihan kepada usahawan serta pelbagai inisiatif dapat dilaksanakan.

“Semua itu diserahkan kepada kebijaksanaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana beliau lebih arif untuk melaksanakan perkara ini,” katanya melalui ucapan di Majlis Perasmian Persidangan Tahunan Perwakilan Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) ke-73 2024 di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Kementerian itu sebelum ini menyatakan harapan agar peruntukan lebih besar disalurkan melalui Belanjawan 2025 bagi kementerian dan agensi di bawahnya.

Melalui suntikan belanjawan lebih besar, ia akan berupaya meningkatkan daya saing dan produktiviti PMKS, seterusnya meningkatkan prestasi PMKS dalam pembangunan ekonomi Malaysia.

Sementara itu sebagai menyentuh usaha KUSKOP membantu usahawan kecil bagi komuniti India Ramanan berkata, setakat ini sejumlah RM13.6 juta telah diperuntukkan untuk tujuan itu.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Sungai Buloh menjelaskan, daripada jumlah itu sebanyak RM3 juta telah disalurkan melalui program Skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) Goes Big di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN).

BACA LAGI: KUSKOP harap lebih banyak peruntukkan menerusi Belanjawan 2025

“Sejumlah RM5 juta pula diperuntukan bagi program pemerkasaan wanita India (PENN) Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM). Manakala dibawah program Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-i (BRIEF-i) sebanyak RM5 juta juga diperuntukan.

“Terkini, sejumlah RM600,000 diperuntukan melalui program Business Accelerator Programme for Indian Small Business (I-BAP),” jelasnya sambil menegaskan, tiada jumlah peruntukan sebesar ini pernah diperuntukkan kepada komuniti India di dalam negara sebelum ini.

Related Articles

Back to top button