Saya tak guna Akta Hasutan kepada pengkritik – Anwar
Kerajaan tidak mencampuri urusan pendakwaan terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang melibatkan dua pertuduhan di bawah Akta Hasutan 1948, tegas Perdana Menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi menegaskan, jika Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu yakin tidak melakukan sebarang kesalahan, beliau boleh membuktikan perkara itu di mahkamah.
Dalam masa sama, Anwar sekali lagi memberi jaminan bahawa Kerajaan Perpaduan tidak akan menzalimi mana-mana pihak tidak kira perbezaan parti politik.
“Kamu kritik parti Perdana Menteri ni macam-macam… hari-hari maki, saya ambil tindakan? Tidak. Kalau saya saman, saya saman di mahkamah atau saya buat laporan polis (tetapi) saya tak ambil tindakan dan saya tak guna Akta Hasutan.
“Tetapi kalau caci raja, saya dah jawab itu had dia. Kerana raja itu dia atas (daripada) politik. Raja ini bukan ketua parti, dia ketua negeri dan ketua negara.
“Kamu nak main-main dan peleceh, boleh, (tetapi) jawab lah. ‘Oh ini Kabinet dan Perdana Menteri takut kepada kami, itu salah guna kuasa’. Kalau saya dikritik, saya ambil tindakan, dah lama saya ambil.
“Kemudian (kata) kami tak hina pun Sultan Selangor. Tak apa, jawab kepada mahkamah,” katanya.
Anwar berkata begitu di Majlis Sambutan Maal Hijrah 1445H di Tanjong Karang pada Rabu.
Berucap lanjut, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata proses pendakwaan terhadap Muhammad Sanusi dibuat mengikut lunas perundangan iaitu melibatkan siasatan polis dan Pejabat Peguam Negara sebelum dibawa ke mahkamah.
Selain itu Anwar berkata segelintir pihak tidak sepatutnya meluahkan kemarahan kepadanya kerana laporan terhadap Muhammad Sanusi antaranya dibuat oleh Dewan Diraja Selangor.
“Sultan Selangor anggap itu penghinaan, sebab itu Sultan Selangor sahkan Dewan Diraja buat laporan. Sultan Selangor sendiri buat kenyataan, dia (baginda) tak puas (hari) dan kes tak selesai.
“Kalau Raja kata tak selesai, siapa yang boleh selesai? Polis lah. Itu yang dia (polis) ambil tindakan,” tambah Anwar.
Muhammad Sanusi didakwa mengeluarkan kenyataan mempunyai kecenderungan menghasut yang boleh menimbulkan rasa tidak setia terhadap mana-mana raja pada pukul 11 malam, 11 Julai lalu di simpang empat Taman Selayang Mutiara.