Sukan

LTdL 2024: Hannah mahu Mohd Elmi fokus proses pemulihan

Menteri Belia dan Sukan (KBS) mahu pelumba pasukan berbasikal kebangsaan Malaysia, Mohd Elmi Jumari fokus kepada proses pemulihan dari kecederaan teruk dialami susulan kemalangan di Pusingan 2 jelajah Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 pada Isnin.

Hannah Yeoh berkata, beliau tidak mahu Mohd Elmi memikirkan soal basikalnya yang rosak kerana pihaknya sudah menerima permintaan dari wakil pasukan khususnya untuk membantu menggantikan basikal pelumba berusia 34 tahun itu yang dianggarkan berharga RM36,000.

“Kita sudah menerima permintaan (menggantikan basikal) daripada rakan-rakan beliau (Elmi) tetapi MSN (Majlis Sukan Negara) tengah melihat isu itu tetapi apa yang penting sekarang adalah untuk fokus pada pemulihan di hospital,” kata Hannah.

“Perkara paling penting ialah beliau boleh berlatih semula dengan cepat. Jadi, saya nak dia fokus pada pemulihan dahulu dan kemudian isu basikal itu MSN akan melihat kemudian,” kata Hannah.

Beliau berkata begitu ketika ditemui pemberita di Majlis Penyerahan Inisiatif Nestle Milo kepada atlet Olimpik dan Paralimpik di Kuala Lumpur pada Selasa.

Mohd Elmi yang merupakan pakar pecut pasukan dilapor mengalami kecederaan serius iaitu patah di bahagian jari tangan kiri dan kanan selain tulang selangka setelah terlibat kemalangan di garisan penamat perlumbaan di Butterworth, Pulau Pinang.

BACA LAGI: KBS batal peruntukan jika persatuan dapatkan tajaan syarikat tembakau, vape dan alkohol

Difahamkan, beliau sudah menjalani pembedahan jari tangan kirinya dan akan menjalani dua lagi pembedahan untuk merawat kecederaan di bahagian tulang selangka dan jari kanan.

Jurulatih skuad kebangsaan, Mohd. Yusof Nasir berkata Mohd Elmi mungkin terpaksa berehat hampir enam bulan ekoran kecederaan dalam kemalangan itu.

Related Articles

Back to top button