GISBH: Kanak-kanak diselamatkan sudah mulakan program pendidikan – KPM
Program pendidikan untuk kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal dikaitkan dengan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) telah bermula sejak Selasa lalu.
Kementerian Pendidikan (KPM) melalui satu kenyataan berkata, pihaknya merangka program khusus demi memastikan kanak-kanak berkenaan menerima akses pendidikan sekaligus mengelak berlaku keciciran pembelajaran.
“Bagi memenuhi keperluan pendidikan untuk kanak-kanak yang tidak pernah mengikuti sistem pendidikan kebangsaan, program ini menggunakan Kit Program Transisi Tahun 1 dan
Modul Program Intervensi Minda Sihat (PRISMA),” kata kenyataan itu pada Khamis.
Menurut KPM, seramai 68 orang guru terlibat secara langsung dalam program yang dilaksana dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Program khusus itu menekankan aspek sosioekonomi, kognitif dan fizikal kanak-kanak bagi membina keyakinan diri.
Ia juga turut menerapkan elemen yang dapat meningkatkan kesedaran potensi diri serta memupuk keseimbangan kanak-kanak ini dari aspek jasmani, emosi, rohani, sosial dan intelek (JERSI) sebagai persediaan untuk menyesuaikan diri dengan suasana pembelajaran secara positif dan baharu.
BACA LAGI: Fadhlina ketuai delegasi ke Persidangan Menteri Pendidikan di Oman
“Selaras dengan agenda Pendidikan Manusiawi, KPM komited memastikan kanak-kanak terlibat mendapat peluang pendidikan terbaik dan tiada yang terpinggir,” tambahnya.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek sebelum ini berkata, kementeriannya akan mengambil alih aspek pendidikan ke atas sekurang-kurangnya 300 anak pengikut GISBH yang kini ditempatkan di rumah perlindungan.