PM Anwar: Malaysia berhak jalin hubungan dengan pelbagai rakan global
Perdana Menteri mempertahankan hak Malaysia untuk mengadakan hubungan dan berurusan dengan pelbagai rakan global, termasuk Rusia.
Melalui satu temu bual bersama CNBC, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia sebagai negara perdagangan mengalu-alukan pelaburan dari seluruh dunia sambil mengekalkan pendirian seimbang mengenai isu antarabangsa.
“Malaysia adalah sebuah negara perdagangan dan kita mengalu-alukan pelaburan dari seluruh dunia. Saya tidak seharusnya mendiskriminasi mana-mana negara lain,” katanya.
Sementara itu, sebagai mengulas hasrat Malaysia untuk menyertai BRICS dan persepsi terhadap hubungan semakin erat dengan Rusia Perdana Menteri berkata, beliau telah bertemu dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin di Vladivostok baru-baru.
Langkah itu memandangkan Rusia kini menjadi pengerusi organisasi antara kerajaan kepada 10 negara anggota yang terlibat dalam kesatuan ekonomi itu.
“Saya pergi ke Vladivostok (Rusia) untuk menyampaikan minat kami untuk menjadi sebahagian daripada BRICS dan meneruskan perdagangan dan pelaburan dalam bidang yang tidak menjadi pertikaian. Saya tidak nampak sebarang sebab mengapa kami tidak patut berbuat demikian,” tambahnya.
Pada temu bual itu Perdana Menteri turut menyentuh persiapan Malaysia untuk mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN pada 2025.
Malaysia jelasnya komited untuk memperkukuh hubungan erat dengan menekankan kepentingan kerjasama dan dialog yang konstruktif dalam kalangan negara anggota ASEAN bagi menangani isu-isu serantau.
“Kita ada masalah kecil di sempadan dengan Thailand, dengan Singapura pula isu air terus dibincangkan, tetapi kami tidak membincangkannya sebagai musuh ketat.
BACA LAGI: Negara utama dalam BRICS sokong penyertaan Malaysia
“Kita berbincang sebagai rakan, saudara dan satu keluarga. Saya yakin kita mampu menyelesaikannya. Jika tidak, ia akan menimbulkan sebarang ketidakpercayaan, permusuhan atau peperangan.
“Kami berharap untuk mencapai konsensus, terutamanya dalam isu-isu yang lebih sensitif seperti Laut China Selatan,” jelas Anwar sambil mengulangi komitmen Malaysia untuk memupuk hubungan positif dengan semua negara, sambil menegaskan hubungan erat dengan Amerika Syarikat (AS) dan China.