Semasa

GISBH: siasatan komprehensif pastikan keadilan ditegakkan – Menteri

Siasatan polis terhadap kes GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dijalankan secara komprehensif dari pelbagai sudut peruntukan undang-undang

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan dilakukan pihak polis bertujuan memastikan keadilan tertegak dengan tindakan diambil berasaskan bukti bagi memastikan mereka yang bersalah tidak dapat terlepas dari pengadilan.

Mengulas perkembangan siasatan itu beliau menjelaskan, pada peringkat awal siasatan kes berkenaan hanya empat peruntukan undang-undang digunakan yang membabitkan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum ia bertambah kepada 10 sehingga kini.

“Undang-undang yang digunakan sudah ada sembilan hingga 10 akta, asalnya empat akta sahaja tetapi semakin kita buka kertas siasatan kita kesan pelanggaran turut melibatkan akta lain.

“Siasatan polis harus dibezakan daripada tanggungjawab Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di bawah JAKIM serta pihak berkuasa agama negeri.

“Mereka menumpukan pada aspek penyelewengan akidah, manakala KDN (Kementerian Dalam Negeri) mengawasi banyak akta yang kami kendalikan,” katanya.

Saifuddin berkata begitu kepada pemberita pada Program Sua Mesra KDN dan Sambutan Hari Pendaftaran Negara ke-76 di Sekolah Kebangsaan Permatang Pasir di Bandar Baharu pada Sabtu.

BACA LAGI: Kanak-kanak diselamatkan sudah mulakan program pendidikan

Difahamkan, antara undang-undang yang diguna pakai dalam siasatan itu termasuk Kanun Keseksaan, Akta Kanak-Kanak 2001, Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017, Akta Pertubuhan 1966, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957.

“Jika ditanya kepada saya, sama ada akan ada lagi tangkapan?, saya akan kata biar pihak polis buat berasaskan kepada jenis kesalahan mengikut seksyen dan akta tertentu.

“Dari segi angka (tangkapan), ia sangat dinamik sebab setiap siasatan akan membawa kepada penemuan baharu,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button