Semasa

Pupuk hubungan harmoni, ibu bapa perlu luang masa interasi bersama anak-anak

Golongan ibu bapa dinasihatkan agar meluangkan masa dan berinteraksi bersama anak-anak mereka.

Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melalui ucapan pada Program Cahaya Dhuha Sejahtera Jiwa di Masjid Sendayan, seremban pada Sabtu berkata, langkah itu dapat membantu menangani isu kesihatan mental seperti kemurungan yang boleh berlaku kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia.

Selain itu ia akan memupuk hubungan lebih harmoni dalam keluarga.

“Masalah kemurungan naik dua kali ganda, sebagai individu kita perlu lihat bagaimana hendak menanganinya.

“Anak-anak terutamanya golongan muda, semua dengan handphone (telefon bimbit). Mereka (anak-anak) tidak dengan kita tetapi (berada) di alam maya.

“Sebagai ibu bapa, lihat juga bagaimana kita meluangkan masa dengan anak-anak. Kita juga dengan handphone (dan) tiada interaksi dengan mereka,” kata Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturahim Isteri-Isteri Harapan Malaysia (Kasih Malaysia) itu.

Program Cahaya Dhuha Sejahtera Jiwa diadakan bersempena Hari Kesihatan Mental Sedunia yang disambut 10 Okt setiap tahun sebagai usaha global untuk meningkatkan kesedaran isu berkaitan kesihatan mental.

BACA LAGI: Dr Wan Azizah seru pelajar hargai pengorbanan guru dan ibu bapa

Program anjuran Kasih Malaysia, Bakriyah Negeri Sembilan dan Masjid Sri Sendayan itu turut dihadiri Yang Dipertua Persatuan Badan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat dan Pegawai Kanan Kerajaan Negeri Sembilan (Bakriyah) Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof.

Terdahulu, Dr Wan Azizah bersama lebih 1,000 jemaah menunaikan solat sunat dhuha dan bacaan Al-Mathurat Sughra di masjid itu.

Related Articles

Back to top button