Semasa

Menteri Agama seru semua pihak hormati sensitiviti umat Islam

Semua pihak diseru agar menghormati serta memahami sensitiviti umat Islam khususnya dalam aspek ketetapan hukum-hakam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar membuat gesaan itu susulan penganjuran larian yang didakwa mempromosikan budaya songsang di Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor baru-baru ini.

Tegasnya, sebarang acara yang boleh mencetuskan polemik serta menggugat kedaulatan agama Islam perlulah dielakkan sama sekali.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyokong penuh ketegasan Kerajaan Negeri Johor yang telah meminta siasatan dijalankan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.

“Semua pihak diseru agar memberikan sepenuh kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk mengendalikan isu ini. Perpaduan serta keharmonian perlu sentiasa dipelihara demi kemakmuran negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu tular di media sosial beberapa gambar dan sebuah klip video sekumpulan individu yang mennyertai program larian mengenakan pakaian berwarna merah serta berkelakuan tidak senonoh dan lucah di tempat awam.

Pada Sabtu, media melaporkan kerajaan negeri tidak pernah memberi kebenaran atau kelonggaran terhadap mana-mana pihak bagi penganjuran acara yang tidak menjaga sensitiviti agama Islam di Johor.

BACA LAGI: Persefahaman Islam dan bukan Islam prasyarat bangun ekonomi Malaysia yang mampan

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pihaknya memandang serius dan tidak akan berkompromi dalam isu tular mengenai pelancong berpakaian songsang dan tidak senonoh dalam satu program larian di Kota Tinggi.

Sementara itu Ketua Polis Johor M Kumar berkata tiga lelaki telah ditahan kerana disyaki berkelakuan tidak senonoh ketika menyertai acara larian terbabit.

Individu yang ditahan itu terdiri daripada dua warga asing dan seorang warga tempatan berusia antara 39 hingga 70 tahun.

Related Articles

Back to top button