Kestabilan politik perkukuh ekonomi, tarik pelabur ke Negeri Sembilan – Aminuddin
Pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan memberi nilai tambah kepada kerajaan Negeri Sembilan dari segi pengukuhan ekonomi dalam pelbagai sektor bagi kesejahteraan rakyat di negeri ini.
Secara keseluruhan prestasi pelaburan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang mencecah RM32.22 bilion merupakan pencapaian membanggakan bagi tempoh lima tahun, bermula 2018 selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14.
Meskipun pelbagai cabaran ditempuh terutama berdepan ketidaktentuan politik di peringkat Pusat serta pandemik Covid-19, Aminuddin berkata peningkatan ekonomi dalam sektor perindustrian, pertanian dan penternakan merupakan satu peralihan yang baik dalam tempoh lima tahun ini .
“Antaranya adalah perindustrian menerusi Malaysia Vision Valley (MVV) dan pelaburan mencecah RM1 bilion di Gemas oleh syarikat Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) iaitu pelaburan besar yang melibatkan sektor pertanian.
“Bagi bidang perhotelan pula Lexis Hibiscus II melabur hampir RM1 bilion,” katanya memetik laporan Bernama.
Aminuddin berkata Negeri Sembilan tidak tertumpu kepada satu industri sahaja tetapi turut menerokai sektor lain yang berpotensi meliputi pertanian, perlombongan serta penternakan yang memberi impak besar kepada ekonomi negeri termasuk membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
Selain itu, beberapa projek oleh kerajaan Persekutuan dan syarikat swasta selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan ternyata membuktikan kepimpinan Aminuddin komited untuk memastikan sasaran menoktahkan miskin tegar dapat diselesaikan segera.
Antara usaha menoktahkan miskin tegar termasuk pembangunan projek rintis ladang penternakan lembu bersaiz mega di tanah berkeluasan 12.14 hektar (30 ekar) di Jelebu yang dijalankan secara profesional dan moden.
Beliau berkata kerajaan negeri mendapati generasi muda di negeri ini berminat dalam bidang penternakan terutama di Kuala Pilah dan Rembau, yang mana bidang itu mendapat sambutan yang baik serta meraih pendapatan lumayan, justeru ia harus dikomersialkan dalam pasaran yang lebih luas.
“Penternak ini dalam kalangan anak-anak muda berminat dengan ternakan lembu bersaiz besar, saya difahamkan di peringkat Kementerian Ekonomi, mereka sedang berunding dengan beberapa syarikat swasta untuk bersama-sama dalam projek penternakan ini.
“Kawasan telah dikenal pasti di Jelebu dengan keluasan tanah 12.14 hektar (30 ekar) untuk permulaan. Selain itu kerajaan negeri juga berbincang dengan syarikat F&N untuk bersama-sama membantu generasi muda ini dalam penternakan dengan bersistematik,” katanya.
Dalam pada itu Aminuddin berkata kerajaan negeri juga berusaha meningkatkan pendapatan rakyat dalam sektor pertanian dengan menawarkan tanah kepada Kementerian Ekonomi untuk dibangunkan dengan penggunaan teknologi moden dan kecerdasan buatan (AI), selain memperkenalkan beberapa pengusaha sektor pertanian kepada Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.
“Saya mencadangkan pembinaan infrastruktur pertanian moden ini dibuat di tanah kerajaan supaya pada masa akan datang jika petani itu tidak berminat, kerajaan negeri boleh ambil senarai (pengusaha) baharu untuk menjalankan pertanian ini, saya yakin ini akan membantu mengurangkan miskin tegar,” katanya.