Mindef bidas pihak politikkan isu kapal tentera berlabuh
Isu kehadiran dua kapal tentera laut China yang berlabuh di Pulau Pinang telah dipolitikkan sehingga menjadi polemik.
Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari menegaskan, Malaysia sering menerima kunjungan kapal pertahanan dari negara luar sebagai sebahagian daripada hubungan ‘bilateral’ dan kehadiran kapal tersebut tidak mengancam atau menggugat keselamatan negara.
Kerajaan menerusi Mindef jelasnya kerap menerima permohonan beberapa negara termasuk Amerika Syarikat untuk melabuhkan kapal pertahanan mereka dan terbaru adalah dari Itali yang berlabuh di Pelabuhan Klang.
“Kementerian Pertahanan (Mindef) kecewa kerana isu berkenaan menjadi topik politik pihak tertentu.
“Ini adalah sebahagian daripada bilateral pertahanan kita. Jadi kalau kita lihat seperti di Pulau Pinang itu semua `pop of call’ ini memang dimaklumkan kepada Kementerian Luar dan apabila mendapat kelulusan barulah kapal-kapal ini boleh berlabuh.
“Saya fikir perkara ini bukanlah satu isu tetapi oleh kerana ia dimainkan dalam pelbagai persepsi, ia sudah menjadi isu,” katanya
Adly berkata begitu selepas merasmikan Program Santuni Madani peringkat negeri di Masjid Raudhatul Jannah, Bukit Katil pada Ahad.
Pihak pembangkang baru-baru ini membangkitkan tindakan membenarkan dua kapal tentera laut China iaitu Kapal Latihan Qi Jiguang dan Kapal Jinggang Shan berlabuh di Pulau Pinang.
Dua kapal pelatih terbabit berlabuh selama tiga hari dan telah beredar menuju ke Chittagong, Bangladesh.
BACA LAGI: Malaysia berhak jalin hubungan dengan pelbagai rakan global
Difahamkan, sebuah kapal itu iaitu Kapal Latihan Jinggang Shan 999 pernah memainkan peranan penting dalam misi pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 pada tahun 2014
Mengenai kunjungan pelatih dari Naval University of China itu ke sebuah sekolah persendirian di negeri itu, Exco Pelancongan negeri, Wong Hon Wai menjelaskan, sekolah tersebut mempunyai lebih 1,900 pelajar dari negara lain antaranya, Indonesia, Thailand dan China.
Lebih 30 pelajar dari China di sekolah tersebut telah mengibarkan bendera mereka pada sambutan itu yang kemudiannya disebarkan di laman sosial oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mengelirukan rakyat.