Negeri

Selangor sudah mulakan program pemulihan untuk anak-anak GISBH diselamatkan

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah melaksana program pemulihan kerohanian awal untuk kanak-kanak diselamatkan daripada premis Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) negeri itu.

EXCO Kebajikan Masyarakat Selangor Anfaal Saari dipetik Selangorkini berkata, kerajaan negeri melaksana modul pemulihan yang meliputi aspek termasuk pendidikan, kesihatan mental dan fizikal, kerohanian, perundangan dan kebajikan.

“Aspek pendidikan kanak-kanak terlibat diambil perhatian oleh Jabatan Pendidikan Negeri selain Jabatan Kesihatan Negeri melakukan intervensi awal untuk memantau kesihatan mereka.

“Setakat ini kanak-kanak terbabit dapat menerima dengan baik, khasnya kanak-kanak yang lebih muda namun cabaran dapat dilihat dalam kalangan kanak-kanak lebih berusia kerana telah meluangkan masa tumbesaran formatif dan usia remaja mereka dengan doktrin GISBH.

“Pemantauan daripada pakar kesihatan dan psikologi telah dijalankan dan akan dipertingkatkan lagi,” katanya dipetik.

Kerajaan Selangor sebelum ini mengumumkan penubuhan pasukan khas bagi meneliti program pemulihan khusus bagi kanak-kanak terbabit.

BACA LAGI: Polis mula prosiding, siasat syarikat GISBH di luar negara

Penubuhan pasukan itu berdasarkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 2 Oktober, pasukan itu dipengerusikan EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah dan Anfaal.

Sementara itu sebagai mengulas pasukan petugas khas ditubuhkan Kerajaan Negeri beliau berkata, pihaknya melaksana bengkel dua hari bermula semalam untuk menyusun modul komprehensif untuk pemulihan kanak-kanak terlibat.

“Bengkel ini diharap dapat menyediakan pemulihan atau ‘exit plan’ untuk kanak-kanak GISBH ini, selaras dengan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj),” tambahnya.

Related Articles

Back to top button