Semasa

Kajian menyeluruh akan dijalankan, cegah harimau keluar habitat asal – NRES

Kajian menyeluruh untuk mencegah atau mengelak harimau keluar dari habitat asalnya yang mendatangkan kemudaratan kepada manusia akan dijalankan.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Nik Nazmi Nik Ahmad berkata begitu kepada pemberita sebagai mengulas kejadian seorang lelaki maut disyaki dibaham harimau dekat Gerik, Perak pada 15 Okt lalu.

“Isu menjaga habitat memainkan peranan yang sangat penting tetapi kita juga sedang melihat keadaan binatang mangsa yang menjadi makanan (harimau) ini.

“Sebab ada laporan bahawa bila terjejas bilangan binatang mangsa dalam hutan, ia juga tentulah mendorong harimau ini untuk keluar.

“Pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) ada membekalkan ataupun melepaskan binatang-binatang mangsa ini ke dalam hutan untuk binatang pemangsa (harimau) supaya tidak mendorong pemangsa keluar dari kawasan hutan, tetapi mungkin ia perlu dibesarkan lagi dan ada kajian menyeluruh,” katanya ketika ditemui di Putrajaya.

BACA LAGI: NRES lancar Dasar Perubahan Iklim Negara 2.0, ke arah ekonomi rendah karbon

Media awal minggu ini melaporkan seorang lelaki diserang binatang buas di kawasan hutan di kawasan rumah kongsi Bagan Balak di Kilometer 79.2 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) dekat Gerik

Adnan Ismail, 54, bekerja sebagai pengendali jentera berat dipercayai diserang haiwan buas itu ketika hendak ke tandas dan mayat mangsa ditemui kira-kira 100 meter dari rumah kongsi berkenaan.

Sementara satu lagi insiden serangan harimau dilaporkan berlaku pada Rabu membabitkan seorang lelaki warga Myanmar dibaham di belakang rumah kongsi sebuah ladang cili di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Jeli-Gerik.

Related Articles

Back to top button