Semasa

Peningkatan STR dan SARA akan kembangkan ekonomi domestik – Penganalisis ekonomi

Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid menyifatkan suntikan RM13 bilion untuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) melalui Belanjawan 2025 berupaya mengembangkan ekonomi domestik

Beliau melalui satu kenyataan berkata ia sekali gus membolehkan aliran tunai berkisar di dalam negara, membabitkan keseluruhan rantaian nilai bekalan barangan, mahupun perkhidmatan.

“Suntikan RM13 bilion ini juga akan digunakan untuk segmen rakyat yang disasar bagi membeli barangan keperluan asas, makanan, pakaian dan sebagainya.

“Secara langsung perbelanjaan ini membantu mengembangkan ekonomi domestik negara… dari pengguna hinggalah kepada peruncit, pengangkutan, pemborong dan pengilang,” katanya.

Belanjawan 2025 dibentang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat menyaksikan peruntukan keseluruhan sebanyak RM421 bilion meliputi RM335 bilion belanja mengurus dan RM86 bilion belanja pembangunan.

Kerajaan memberikan peningkatan tertinggi pada 2025 bagi STR dan SARA iaitu kepada RM13 bilion berbanding RM10 bilion.

“Belanjawan 2025 diselaraskan secara strategik dengan kerangka Ekonomi MADANI bagi menstruktur semula ekonomi negara ke tahap lebih baik,” tambahnya.

Sementara itu, Timbalan Dekan (Pembangunan) Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya, Dr Goh Lim Thye dipetik laporan media berkata kerajaan dilihat meletakkan keperluan rakyat sebagai inti agendanya melalui Belanjawan 2025.

BACA LAGI: Peruntukan besar bukti kesungguhan kerajaan bina negara berdaya tahan

Bajet komprehensif itu dilihat berupaya menangani cabaran dihadapi rakyat Malaysia setiap hari dengan memfokuskan kepada mengurangkan ketidaksamaan pendapatan, memastikan penjagaan kesihatan mampu milik, meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti dan menyediakan sokongan untuk pemilikan rumah.

“Sebagai contoh melalui kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 sebulan, ia berupaya meningkatkan kuasa beli dalam kalangan golongan berpendapatan rendah,” jelasnya.

Related Articles

Back to top button