Negeri

Proses pemulihan kanak-kanak diselamatkan dari GISBH berjalan lancar – Jais

Program pemulihan dilaksana Kerajaan Selangor kepada kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal GISB Holdings (GISBH) berjalan lancar.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato Mohd Shahzihan Ahmad dipetik laporan Selangorkini memberitahu kanak-kanak terbabit mengikuti modul bersesuaian dengan keperluan mereka seperti ditetapkan pasukan khas pemulihan khusus yang ditubuhkan.

“Kita utamakan pengisian anak-anak ini. Sebelum itu kita dekati mereka dan melihat dari semua aspek supaya modul mengikuti perkembangan semasa.

“Hasil dapatan kita selepas berbual, menemuramah mereka, kita sesuaikan. Kita mahu modul ini bersesuaian dengan apa mereka perlukan,” katanya.

Kerajaan Selangor menubuhkan pasukan khas tersebut berdasarkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor pada 2 Okt lepas.

Exco Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah dan Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor Anfaal Saari dalam kenyataan bersama sebelum ini memaklumkan pasukan khas tersebut dianggotai wakil Majlis Agama Islam Selangor, polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Turut terlibat Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Lembaga Zakat Selangor, Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan Yayasan Selgate.

BACA LAGI: Selangor sudah mulakan program pemulihan untuk anak-anak GISBH diselamatkan

Fokus pasukan itu bukan hanya pada isu-isu akidah tetapi juga kebajikan, isu kesihatan dan perkembangan mental-fizikal untuk memastikan kanak-kanak ini dapat dipulihkan dan diintegrasikan semula ke dalam masyarakat.

Sementara itu Mohd Shahzihan ketika mengulas isu berkaitan status akidah kanak-kanak berkenaan, beliau berkata perkara itu hanya boleh diputuskan pihak mahkamah.

Related Articles

Back to top button