Belanjawan 2025: Kerajaan komited bela nasib nelayan – LKIM
Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyifatkan penambahan peruntukan untuk nelayan dalam Belanjawan 2025 membuktikan komitmen kerajaan dalam membela nasib golongan itu.
Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, ia juga jelas memperlihatkan bahawa dibawah pentadbiran Kerajaan MADANI, nelayan tidak pernah terpinggir daripada menerima bantuan, malah soal kebajikan komuniti terbabit sentiasa diambil berat dan diberi keutamaan.
“Kita amat menyambut baik apabila segala inisiatif yang diberikan oleh kerajaan selama ini diteruskan dalam Belanjawan 2025 termasuk subsidi diesel dan petrol masih kekal pada kadar RM1.65 sen seliter yang mana harga itu cukup murah berbanding di pasaran.
“Meskipun dalam keadaan ekonomi negara yang mencabar dengan dana terhad namun kerajaan tetap meneruskan penyaluran peruntukan kepada rakyat khususnya nelayan dan ini amat kita hargai,” katanya.
Muhammad Faiz berkata begitu pada Karnival Madani Pengerusi LKIM bersama Komuniti Pengkalan Tambang di Permatang Pasir di Permatang Pauh, Pulau Pinang pada Sabtu.
Dalam pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan memperuntukkan RM2.78 bilion sebagai subsidi, bantuan dan insentif untuk pesawah dan nelayan pada 2025, meningkat berbanding RM2.6 bilion tahun ini.
BACA LAGI: Sebanyak 83 projek sudah diluluskan KPKM sehingga September lalu
Sementara itu tambahnya, peruntukan yang diberikan juga akan digunakan untuk meneruskan segala inisiatif yang diperkenalkan kerajaan sekali gus meningkatkan taraf hidup serta ekonomi para nelayan.
“Tumpuan juga akan diberikan terhadap kerja-kerja penaiktarafan jeti nelayan serta kompleks pendaratan ikan yang telah usang. Ini kerana untuk memajukan industri perikanan, kita perlu menyediakan infrastruktur yang lengkap supaya aktiviti perikanan ini dapat berjalan dengan baik dan lancar,” tambahnya.