ekonomi

KUSKOP salur pembiayaan RM1.1 bilion untuk 18,116 usahawan di Selangor

Sejumlah RM1.1 bilion pembiayaan daripada agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sudah disalurkan kepada 18,116 usahawan di negeri Selangor.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan berkata peruntukan disalurkan antara Januari hingga Ogos itu bertujuan membantu usahawan terbabit mengembangkan perniagaan mereka.

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM126.4 juta diperuntukkan kepada 14,406 Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), RM73.1 juta kepada 3,324 usahawan di bawah TEKUN Nasional dan RM253.9 juta disalurkan Bank Rakyat kepada 208 usahawan.

“Selain itu, SME Bank menyalurkan pembiayaan berjumlah RM645.7 juta kepada 152 usahawan manakala pembiayaan francais di bawah Pernas berjumlah RM5.8 juta kepada 26 syarikat,” jelasnya.

Ramanan berkata begitu pada program Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Wilayah Tengah di Sungai Buloh, Selangor pada Sabtu.

Pada program itu menyampaikan bantuan cek pembiayaan daripada empat agensi KUSKOP iaitu Bank Rakyat, SME Bank, TEKUN Nasional dan SME Corp dengan nilai keseluruhan berjumlah RM5.4 juta kepada usahawan yang layak.

Sementara itu sebagai mengulas program SDSI beliau berkata, ia bertujuan mewujudkan ekosistem inklusif kepada usahawan untuk mempamerkan dan menjual produk yang melambangkan identiti daerah mereka.

BACA LAGI: Koperasi diseru manfaatkan bantuan, kemudahan pembiayaan disedia kerajaan

Bagi program SDSI Wilayah Tengah ia melibatkan 50 usahawan dari Selangor, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan.

“Showcase SDSI ini membuktikan keberkesanan kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam usaha membangunkan produk-produk usahawan tempatan yang berkualiti dan dapat menembusi pasaran pada peringkat domestik dan antarabangsa,” katanya.

Related Articles

Back to top button