Semasa

SejaTi Madani: PM Anwar mahu semua kampung terlibat

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Program Sejahtera Komuniti Madani (SejaTi Madani) diperluas ke semua kampung di seluruh negara tanpa ada yang terkecuali.

Beliau berkata, kerajaan menyerahkan pelaksanaan dan menyusun program yang mengupayakan komuniti melalui aktiviti peningkatan sosioekonomi itu kepada pihak bertanggungjawab menerusi peruntukan yang diberikan dalam Belanjawan 2025.

“SejaTi Madani ini, kita seolah-olah bagi satu tanggungjawab dan cabaran langsung kepada orang kampung (dengan peruntukan) paling minimum RM50,000 dan maksimum RM100,000.

“Teman (Anwar) bagi dana, kome putuskan apa yang nak buat bagi kepentingan orang kampung. Ada yang beli traktor, ada yang beli bot, tetapi keputusan itu bukan keputusan seorang (namun) keputusan wakil masyarakat kampung yang boleh menghidupkan ekonomi.

“Imam, ketua kampungnya, penghulunya, persatuan belia, wanita (kampung) dan jawatankuasa masjidnya, kome (kamu) duduklah runding betul-betul,” katanya.

Terdahulu, Anwar hadir ke majlis ramah mesra bersama masyarakat Padang Rengas di Dataran Arena Square Pekan Isnin, Padang Rengas di Kuala Kangsar pada Ahad.

SejaTi MADANI adalah inisiatif baharu Kerajaan Perpaduan, yang bertujuan merancakkan aktiviti ekonomi di peringkat komuniti bagi meningkatkan pendapatan dengan pemberian dana antara RM50,000 hingga RM100,000 kepada komuniti yang layak.

BACA LAGI: Kerajaan MADANI terus perkasa syiar Islam melalui Belanjawan 2025

Ia disalur terus kepada masyarakat kampung dengan program dilaksanakan dipantau oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) serta pegawai daerah.

Sementara itu Anwar melalui ucapannya turut mengingatkan masyarakat kampung agar membuat keputusan dengan sebaik-baiknya kerana peruntukan keseluruhan RM1 bilion yang disediakan bagi inisiatif tersebut merupakan satu amanah buat mereka.

Related Articles

Back to top button