Semasa

Naik gaji minimum bukti kesungguhan kerajaan bantu golongan pekerja

Keputusan Kerajaan MADANI menaikkan kadar gaji minimum kepada RM1,700 mencerminkan tekad politik yang jelas dalam membela golongan pekerja.

Perdana Menteri menyatakan keputusan menaikkan kadar baharu itu juga sebagai tindakan berani, kerana tiada sebarang keputusan mampu dicapai sekiranya hanya menunggu kata putus daripada pihak syarikat.

“Kalau saya tanya syarikat, tidak akan ada keputusan, mustahil dapat keputusan. Jadi saya bincang dengan kawan-kawan Jemaah Menteri, prestasi negara amat baik, pelaburan yang masuk cukup memberangsangkan, dan sebuah negara yang makmur tidak boleh ada layanan sebegini kepada pekerja kita.

“..kita naik (gaji minimum) dari RM1,500 kepada RM1,700,” katanya di majlis pelancaran pembangunan perumahan Residensi Madani Putrajaya pada Isnin yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Anwar yang juga Menteri Kewangan pada pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober lepas mengumumkan kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 sebulan kepada RM1,700 sebulan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Februari 2025.

Manakala kerajaan memberi penangguhan kuat kuasa gaji minimum RM1,700 membabitkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja bagi tempoh enam bulan, iaitu berkuat kuasa pada 1 Ogos 2025.

BACA LAGI: Gaji minimum RM1,700 naik martabat pekerja – SERI

Kenaikan kadar gaji minimum itu disambut baik banyak pihak susulan ia amat membantu golongan pekerja B40 khususnya untuk menyara kehidupan mereka dan keluarga.

Sementara itu Anwar berkata, beliau berharap supaya semua syarikat dapat memberi kerjasama dalam pelaksanaan kadar baharu gaji minimum yang akan berkuatkuasa Februari tahun depan.

Related Articles

Back to top button