Buli Siber: Undang-undang lebih tegas akan diperkenal
Kerajaan MADANI mengambil perhatian terhadap isu buli siber yang dilihat semakin membimbangkan, tegas Perdana Menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sehubungan itu undang-undang lebih tegas akan diperkenal untuk membendung perkara itu dan ia dijangka dibentang pada sesi Parlimen akan datang.
“Kita akan perkenalkan undang-undang buli siber yang lebih tegas… dan saya ada minta badan-badan seperti MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia), PDRM (Polis Diraja Malaysia) ambil tindakan maksimum yang mungkin, jangan tolak ansur,” katanya.
Beliau berkata begitu pada program Temu Anwar di Karnival Generasi Ada Idea (Gen-AI) di tapak Parkir Gravitas Jalan Baru Prai di Bukit Mertajam pada Sabtu.
Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Kounikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa; Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid dan Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.
Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) sebelum ini mendedahkan bahawa Malaysia menjadi negara kedua di Asia bagi kadar siber buli.
Di peringkat dunia pula, Malaysia disenaraikan sebagai negara kelima dengan kadar siber buli tertinggi selepas Peru, Argentina, Mexico dan Brazil.
Bahagian Hal Ehwal UndangUndang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada Julai lalu mengumumkan, Kerajaan akan mempertimbangkan cadangan meminda Kanun Keseksaan (Akta 574) bagi membanteras gejala berkenaan.
BACA LAGI: Tiada tolak ansur untuk pihak cuba cetus kebencian kaum
Sementara itu Anwar menegaskan, meskipun Malaysia mengamalkan kebebasan bersuara namun isu buli tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh memberi impak psikologi seperti penderaan mental sehingga berupaya mengancam keselamatan serta nyawa seseorang.
“Kebebasan bukan untuk kamu dera orang. Kebebasan bukan untuk kamu menghina orang, mengaibkan orang… meskipun Malaysia memperjuang kebebasan dan keadilan, negara ini tidak akan sesekali membiarkan sebarang bentuk penindasan, penghinaan serta penderaan berlaku,” katanya.