Fashionvalet: PM Anwar arah Khazanah siasat kerugian pelaburan
Perdana Menteri mengarahkan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), untuk melakukan audit dalaman bagi menyiasat kerugian pelaburan bernilai RM43.9 juta dalam FashionValet Sdn Bhd (FashionValet).
Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui hantaran di X berkata, arahan itu sebagai memaknai pengumuman beliau sebelum ini yang mengarahkan Jabatan Audit Negara melakukan pengauditan terhadap 2,000 syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Ini bagi mewujudkan sistem tadbir urus yang lebih baik, selain memastikan semua syarikat berkenaan memenuhi tuntutan tanggungjawab dan fungsi masing-masing,” katanya .
Kementerian Kewangan (MOF) di Dewan Rakyat pada Isnin memaklumkan Khazanah dan PNB menjual saham mereka dalam platform e-dagang fesyen FashionValet pada harga RM3.1 juta kepada NXBT Partners pada tahun 2023.
BACA LAGI: Pembangkang gagal bawa isu kepentingan rakyat
Ini berbeza dengan pelaburan RM47 juta yang dibuat oleh Khazanah dan PNB pada tahun 2018, terdiri daripada RM27 juta dan RM20 juta masing-masing untuk pegangan minoriti dalam FashionValet.
Susulan itu Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata suruhanjaya itu telah membuka kertas siasatan berhubung kerugian pelaburan berkenaan untuk menentukan sama ada terdapat elemen jenayah.