Fahmi kecewa penyedia platform media sosial tak proaktif kekang aktiviti jenayah
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menggesa pengendali platform media sosial lebih proaktif membantu kerajaan menyekat sebarang aktiviti tidak bermoral serta menyalahi undang-undang di akuan laman sosial kendalian mereka.
Beliau yang diitemui pemberita di Subang Jaya pada Isnin berkata, penyedia platform media sosial sepatutnya menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menyekat anasir-anasir yang memudaratkan itu.
“Beberapa minggu lepas, tular di platform X mengenai satu halaman Facebook yang menjurus kepada kesalahan berkaitan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.
“Saya percaya Meta (penyedia platform) telah menurunkan kandungan itu, tapi masalahnya Meta tidak proaktif, hanya setelah dibangkitkan, baru (buat) dan sepatutnya dia telah flag daripada awal.
“Apa guna ada AI? Apa guna mereka ambil duit dari rakyat Malaysia iaitu pendapatan Facebook pada tahun 2023 adalah RM2.5 bilion.. takkan mereka tidak ada untuk nak buat saringan automatik terhadap halaman-halaman jenayah ini?” katanya.
Terdahulu Fahmi yang juga jurucakap bagi Kerajaan Perpaduan merasmikan Persidangan Carian Antarabangsa Ke-8: ‘Evolusi Media – Mengemudi Kelestarian dan Gangguan dalam Dunia Dinamik’ di Taylor’s University.
Sementara itu tegasnya, langkah kerajaan memperkenal Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 adalah tepat.
BACA LAGI: Fahmi sifatkan penyedia media sosial lemah dalam usaha kekang jenayah
Tiga jenayah utama iaitu scam dan judi dalam talian, buli siber serta jenayah seksual terhadap kanak-kanak kini dikesan banyak ‘berhijrah’ ke ruang maya
“Ini antara sebab kenapa kita mahu platform-platform ini dilesenkan secara automatik,” katanya.