Lawatan PM Anwar ke Brazil detik penting negara
Lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Rio de Janeiro, Brazil bagi menghadiri Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) dianggap penting.
Ia berikutan kedua-dua negara memegang peranan penting pada 2025 apabila Malaysia mempengerusikan ASEAN dan Brazil mengetuai BRICS serta menganjurkan COP30.
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, kehadiran Malaysia ke persidangan itu sebagai mewakili rantau Asia Tenggara dan secara tidak langsung akan menyumbang kepada perbincangan dalam memastikan kestabilan ekonomi serantau dan menangani isu-isu berkepentingan bersama.
“Semasa Sidang Kemuncak, Anwar dijadualkan menyampaikan Kenyataan Negara dalam dalam dua sesi utama, iaitu “Social Inclusion and the Fight Against Hunger and Poverty” serta “Reform of Global Governance Institutions.”
“Penglibatan Perdana Menteri dalam Sidang Kemuncak G20 menekankan hasrat Malaysia untuk memajukan kerjasama ekonomi, menggalakkan kesejahteraan dan pembangunan inklusif serta reformasi tadbir urus global.
“Lawatan Kerja ini juga akan lebih mengukuhkan hubungan dua hala dan kerjasama antara Malaysia dan Brazil,” kata Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan media.
Anwar berada di Brazil untuk menghadiri persidangan itu atas jemputan Presiden Brazil Inacio Lula da Silva
Beliau diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
BACA LAGI: Ikut langkah Brazil, iktiraf Palestin melalui perjanjian perdagangan – MAHAR
Diluar sidang kemuncak, Anwar dijadualkan bertemu Lula da Silva untuk membincangkan kerjasama dua hala antara Malaysia-Brazil, termasuk dalam bidang perdagangan dan pelaburan, serta industri semikonduktor dan juga bagi mengukuhkan lagi persahabatan antara kedua-dua negara.
Kedua-dua pemimpin juga akan bertukar pandangan mengenai perkembangan di forum serantau dan pelbagai hala termasuk ASEAN, BRICS dan G20.
Anwar kemudian akan mengadakan perbincangan meja bulat dengan kapten industri Brazil bagi mempromosikan peluang perniagaan khususnya dalam sektor minyak dan gas, serta teknologi digital.