Individu diperintah tahanan rumah dipakaikan alat peranti – Menteri KDN
Rang Undang-Undang (RUU) akta baharu tahanan rumah yang sedang diusahakan kerajaan merupakan salah satu usaha mengurangkan masalah kesesakan di penjara.
Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keseluruhan tahanan di penjara sehingga 14 November lalu seramai 86,766 orang dan melepasi kapasiti sebenar iaitu 74,146.
“Daripada jumlah itu jelasnya, 28,000 adalah individu yang ditahan reman,” katanya selepas merasmikan Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni Madani) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Bunga di Pasir Mas pada Sabtu.
Hadir sama, Ketua Pesuruhjaya Penjara, Datuk Seri Nordin Muhamad.
Mengulas lanjut Saifuddin berkata, proses pembikinan RUU akta tersebut sudah berada di peringkat perbincangan dengan Jabatan Peguam Negara dan semua pemegang taruh.
Manakala pihaknya sudah menyelesaikan sesi libat urus dengan Jawatankuasa Terpilih Parlimen, hak asasi keselamatan, ahli akademik dan pakar-pakar perundangan.
Mengulas mengenai pelaksanaannya kelak Saifuddin menjelaskan, pesalah tahanan di rumah itu akan dipakaikan dengan alat peranti bertujuan memantau kedudukan mereka.
BACA LAGI: Tahanan di rumah hanya libatkan kesalahan tidak serius
Manakala perintah tahanan di rumah itu hanya melibatkan pesalah yang merupakan status tahanan reman dalam penjara.
“Kalau yang tahanan reman kerana jenayah berat seperti rogol, bunuh, 39 B (dadah) tidak diambil kira,” tegasnya.