Semasa

GISBH: Kerajaan tangani trauma kanak-kanak diselamatkan melalui modul rehabilitasi

Kerajaan meletak keutamaan untuk mengembalikan anak-anak GISBH Holdings yang diselamatkan dalam Op Global kembali ke masyarakat terutama ke pangkuan keluarga.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, pihaknya menyokong penuh pendirian Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPKM) untuk mengembalikan kanak-kanak GISBH kepada ibu bapa dan keluarga mereka.

“Namun hendaklah dipastikan, ibu bapa dan keluarga kanak-kanak itu dapat berfungsi dengan baik dan boleh memberikan penjagaan yang baik dan membina masa hadapan mereka.

“Jika tidak, maka isu yang sama akan berulang kembali apabila kanak-kanak itu diabaikan dan dipisahkan daripada keluarga demi memenuhi sistem yang dibentuk oleh pimpinan tertinggi kumpulan GISBH,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Isnin.

Sementara itu tambah Dr Mohd Na’im, kerajaan turut mengambil kira kesan trauma jangka panjang kanak-kanak terbabit.

Justeru melaksana modul rehabilitasi GISBH, merangkumi pemulihan akidah, kaunseling, kenegaraan, pendidikan dan latihan kemahiran untuk mereka .

Selain itu pemantauan perkembangan kanak-kanak dilaksana secara berkala dan berterusan menerusi pembabitan dan kerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi kerajaan lain daripada segi mental, emosi dan akidah bagi memberi kesan positif berterusan dan diamalkan.

“Memang kita ada pakar seperti pedagogi, psikologi dan akidah yang akan memantau anak-anak ini supaya kita harapkan mereka dapat kembali ke masyarakat dengan sejahtera,” katanya.

BACA LAGI: Dr Wan Azizah pencetus idea pindaan RUU berkaitan kewarganegaraan 

“Kerjasama komuniti setempat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu dilibatkan untuk mewujudkan suasana sokongan sosial yang kukuh kepada kanak-kanak itu bagi mengurangkan rasa kehilangan dan trauma yang dihadapi golongan itu,” tambahnya.

Mohd Na’im juga memaklumkan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan akidah dan pegangan umat Islam secara keseluruhannya termasuk ahli GISBH melalui pembudayaan ilmu dan pentarbiahan yang komprehensif dan berkesan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) serta agensi berkaitan.

Related Articles

Back to top button