Dr Wan Azizah cadang wujudkan ‘rumah kucing’
Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mahu usaha menjaga kebajikan haiwan peliharaan terutama ‘kucing gelandangan’ ditingkatkan dengan penjagaan yang lebih baik dan seterusnya dijadikan ‘kucing angkat’.
Justeru beliau mencadangkan supaya ‘rumah kucing’ diwujudkan bagi menjaga kebajikan kucing gelandangan terutama di kawasan perumahan kos rendah.
Melalui ucapannya di majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Persatuan Rakan Kucing Malaysia (PRKM) dan Pet Universe di di Ampang, Selangor pada Jumaat beliau berkata, hubungan yang baik antara manusia dan haiwan peliharaan, khususnya kucing mampu meningkatkan kualiti hidup.
Usaha juga perlu dilakukan bagi mempertingkat pemilikan haiwan peliharaan secara bertanggungjawab.
“Di Bandar Tun Razak, kita ada banyak kucing gelandangan yang dibuang merata-rata… langkah ini (rumah kucing) dapat menyumbang kepada masyarakat yang lebih penyayang dan bertanggungjawab,” katanya.
Sehubungan itu beliau yang juga penaung Persatuan Rakan Kucing Malaysia (PRKM) menyeru agensi kerajaan, syarikat swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti untuk bersama-sama berusaha mewujudkan ‘rumah kucing’ berkenaan.
Manakala ‘rumah kucing’ pula disarankan menawarkan perkhidmatan vaksinasi, rawatan neuter dan menyediakan perkhidmatan adopsi kucing.
BACA LAGI: Dr Wan Azizah pencetus idea pindaan RUU berkaitan kewarganegaraan
Mou ditandatangani antara PRKM dan Pet Universe itu mengukuhkan kerjasama bersama dalam meningkatkan kesedaran tentang kebajikan kucing melalui penganjuran bengkel, seminar dan aktiviti mendidik masyarakat tentang penjagaan haiwan peliharaan sebagai ahli keluarga.
Pada majlis itu Dr Wan Azizah diberi penghormatan menamakan seekor anak kucing yang diselamatkan Pet Universe baru-baru ini dan memilih nama ‘Snowflake’.