Semasa

Wanita KEADILAN sokong usaha KPM perjuang hak wanita untuk pendidikan

Wanita Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menyeru agar rakyat Malaysia terus memberi sokongan kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek supaya terus ke hadapan dalam usaha memperjuangkan hak wanita terutama dalam bidang pendidikan.

Setiausahanya, Loh Ker Chean sebagai mengulas lawatan Kementerian Pendidikan Afghanistan ke Malaysia baru-baru ini berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) bakal mencipta tamadun dunia antarabangsa jika berjaya meyakinkan pentadbiran Taliban membuka semula sekolah kepada kaum wanita.

“Tatkala dunia menyaksikan kebangkitan kuasa sayap kanan yang ekstrem, Malaysia mampu memainkan peranan untuk meredakan suasana ketegangan dengan menampilkan model Malaysia sederhana, progresif dan inklusif.

“Kita berbangga kerana hak pendidikan yang sama rata kepada kaum wanita menjadi prinsip dipegang bersama tanpa mengira kaum, agama dan gender.

“Malaysia boleh memimpin dengan menjadikan model kita sebagai teladan negara muslim atau Islam yang lain,” katanya dalam satu kenyataan.

KPM menerusi satu kenyataan sebelum ini memaklumkan kehadiran delegasi Afghanistan adalah bagi melihat amalan terbaik yang boleh dilaksana dalam membangunkan dasar pendidikan di negara tersebut.

Kementerian itu telah melaksanakan pembentangan yang memberi gambaran menyeluruh sistem pendidikan negara termasuk berkenaan pendidikan untuk kanak-kanak perempuan dan wanita yang memperlihatkan sistem pendidikan negara yang inklusif serta tumpuan kepada peningkatan akses dan ekuiti merentas status sosial ekonomi, gender, etnik dan geografi.

Sementara Fadhlina dipetik laporan media pula menegaskan, kunjungan delegasi itu adalah peluang terbaik untuk negara khususnya KPM menonjolkan sisi terbaik pencapaian dan ekosistem pendidikan bagi kanak-kanak perempuan.

Selaku negara yang dianggap contoh oleh pihak luar, Malaysia juga harus berani dalam melawan diskriminasi dan terus memperjuangkan hak pendidikan untuk anak-anak perempuan di seluruh dunia.

“Wanita KEADILAN memberi sokongan penuh kepada KPM menjadi tuan rumah kepada kunjungan delegasi tersebut.

“Sungguhpun Malaysia merupakan sebuah negara majoriti muslim yang mengangkat Islam sebagai agama rasmi, namun kita memiliki satu sistem pendidikan inklusif, merangkumi aliran bahasa dan budaya pelbagai,” tambah Ker Chean melalui kenyataannya.

BACA LAGI: Pendidikan mesti jadi medium tanam nilai murni

Untuk rekod, Pertubuhan Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) melaporkan, pentadbiran Taliban yang tidak diiktiraf oleh mana-mana negara lain mengenakan sekatan pelbagai ke atas wanita.

Sejak mengambil alih pentadbiran negara itu pada 2021, 1.4 juta gadis dan hampir 2.5 juta kanak-kanak perempuan iaitu mewakili 80 peratus kanak-kanak perempuan yang sepatutnya bersekolah di Afghanistan telah dinafikan hak mereka untuk mendapatkan akses pendidikan.

Related Articles

Back to top button