Semasa

MCMC diminta kaji saluran notis bencana terus kepada penduduk

Bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi bencana, kerajaan telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) meneliti satu saluran notis bencana terus kepada penduduk.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata saluran notis bencana tanpa perlu melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) itu perlu bertindak dengan fungsi amaran menerusi telefon bimbit seperti diguna pakai oleh beberapa negara antaranya Korea Selatan dan Jepun.

“Kalau di Korea Selatan dan Jepun, apabila bencana berlaku, telefon bimbit secara automatik akan mendapat amaran bukan SMS tetapi ia (amaran) akan muncul pada telefon bimbit kita dan aplikasi ini sangat pantas.

“Saya dapati kita perlu teliti supaya sekiranya ada keperluan untuk memberi amaran selain siren yang berfungsi dan tambahan kepada itu, telefon bimbit kita wajar jadi alat kita dapat amaran yang terkini terutama apabila air dah mula naik di kawasan kita,” katanya.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata begitu ketika berucap pada Majlis Pelancaran Komuniti Siaga 221: Komuniti Berdaya Tahan Bencana Alam Bagi Kampung Pasir Baru anjuran Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Program Komuniti Siaga 221 yang diperkenalkan APM bertujuan memberi pendedahan dan pengetahuan latihan kecemasan kepada penduduk di kawasan bandar yang berisiko menghadapi bencana serta terdedah ancaman keselamatan setempat.

BACA LAGI:KPM siapkan panduan pengurusan bencana banjir hadapi Monsun Timur Laut

Fahmi sementara itu berkata notis bencana berkenaan boleh diselaraskan bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Ia boleh menjadi langkah membantu penduduk menghadapi sebarang bencana terutama di kawasan yang berisiko sekali gus mencegah sebarang perkara tidak diingini.

MCMC, katanya dijangka menyiapkan penelitian mengenai perkara itu dalam tempoh sebulan.

Related Articles

Back to top button