Semasa

Pentingkan kebajikan rakyat, PBT jangan naik cukai secara mendadak – Nga Kor Ming

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menggesa semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melaksana proses penilaian semula cukai taksiran dengan mementingkan kebajikan rakyat.

Menterinya Nga Kor Ming berkata, kenaikan cukai tidak boleh dilakukan secara mendadak sehingga membebankan rakyat.

“Oleh itu, kerajaan mencadangkan kenaikan cukai dilakukan secara beransur-ansur dan mengambil kira kadar inflasi semasa, contohnya peningkatan sebanyak 2 hingga 5 peratus sahaja setiap dua tahun.

“Pendekatan ini telah berjaya di Pulau Pinang, di mana kadar kenaikan kecil tetapi konsisten telah menerima sambutan baik daripada rakyat. Saya yakin Ipoh juga boleh mengkaji dan mengambil pendekatan serupa agar rakyat tidak terbeban,” katanya dalam satu kenyataan.

Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan sebelumnya mengulas laporan media minggu lalu berhubung bantahan warga Ipoh terhadap kadar baharu cukai taksiran sembilan peratus yang akan dilaksanakan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan telah dibangkitkan dalam Majlis Negara Kerajaan Tempatan, baru-baru ini.

“Dasar kerajaan jelas, ini adalah kerajaan dari rakyat, untuk rakyat. Semua bantahan dan maklum balas akan diteliti untuk memastikan keputusan yang dibuat adalah adil,” tambahnya.

BACA LAGI: Menteri KPKT prihatin, sumbang sebulan gaji untuk kebajikan kakitangan

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin sebelum ini memaklumkan, keputusan sama ada mengekal atau menurunkan kadar cukai baharu yang dikenakan MBI adalah bergantung kepada bantahan yang dibuat oleh warga Ipoh.

Susulan itu, Badan Bertindak Bantah Cukai Ipoh menerima dan menghantar lebih 3,000 surat bantahan dikemukakan warga bandar raya Ipoh yang tidak bersetuju dengan kadar baharu itu.

Related Articles

Back to top button