Semasa

Suara kanak-kanak bakal diambil kira dalam setiap keputusan kerajaan

Dasar Kanak-Kanak Negara baharu dilancarkan pada Ahad bagi memastikan suara golongan itu didengar dan diambil kira dalam setiap keputusan yang akan dibuat kerajaan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Nancy Shukri pada majlis pelancaran dasar itu berkata, ia dirangka bagi memastikan kebajikan kumpulan kanak-kanak terjamin selain memastikan mereka dilindungi dari keganasan, eksploitasi dan pengabaian.

Menerusi empat objektif, dasar tersebut jelasnya akan membentuk insan seimbang, berperibadi unggul, progresif serta mempunyai nilai-nilai murni ke arah kesejahteraan Malaysia.

“Ia beri fokus kepada perkembangan holistik dari segi fizikal, emosi, mental, dan kerohanian; serta penyertaan bermakna kanak-kanak dalam proses membuat keputusan yang mempengaruhi kehidupan mereka,” katanya di majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak Kebangsaan 2024 bertemakan ‘Dengarlah Suara Kami’ di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di Kuala Lumpur pada Ahad.

Hadir menyempurnakan majlis tersebut ialah isteri Perdana Menteri, yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sementara itu, Dr Wan Azizah dalam ucapannya mengingatkan para ibu bapa supaya memainkan peranan masing-masing dalam mendidik dan memantau anak-anak walaupun sibuk bekerja, agar mereka dapat diasuh seta dipupuk dengan nilai-nilai positif serta etika yang betul.

“Semua pihak mestilah memainkan peranan untuk memastikan kanak-kanak sentiasa dilindungi daripada sebarang bentuk penderaan, pengabaian atau penganiayaan. Kita mesti melaporkan segera kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat kes berisiko atau situasi meragukan.

“Kepada ibu bapa atau penjaga, sekiranya ada sebarang masalah, dapatkan bantuan daripada pihak berkaitan. Jangan tunggu lagi,“ katanya.

BACA LAGI: Selangor pantau pemulihan kanak-kanak diselamatkan dari GISBH

Pada majlis itu tujuh anugerah khas telah diberikan kepada kanak-kanak yang memberikan sumbangan luar biasa dalam bidang masing-masing.

Selain itu, 15 syarikat terpilih yang melaksanakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dalam menyokong kesejahteraan kanak-kanak turut menerima anugerah dan sijil penghargaan.

Related Articles

Back to top button