Hukuman khidmat masyarakat diperkenal untuk individu tiada sivik
Mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat bersetuju untuk melaksanakan hukuman khidmat masyarakat bagi kesalahan pembuangan sampah kecil melalui pindaan undang-undang.
Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming berkata, walaupun Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah memperkenal hukuman denda bagi kesalahan itu, namun itu tidak menjadi halangan kepada pesalah daripada mengulangi tabiat membuang sampah kecil merata-rata.
“Isu pembuangan sampah kecil merata-rata masih menjadi kebimbangan walaupun Malaysia telah mencapai pelbagai kemajuan dalam usaha menuju status negara maju.
“Justeru, bagi memperketat tindakan penguatkuasaan, suatu hukuman berbentuk khidmat masyarakat wajar dikenakan kepada pesalah yang disabitkan dengan kesalahan membuang sampah kecil,” katanya pada sidang media ketika menghadiri majlis Anugerah Kecemerlangan Media KPKT 2024 di Kuala Lumpur malam tadi.
BACA LAGI: Skim sewa untuk beli diperluas ke kediaman PRR – Menteri KPKT
Sementara itu tambahnya, hukuman itu akan dilaksana melalui penyediaan draf Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) serta Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).
“Oleh itu, pindaan kepada Akta 171 dan Akta 133 akan mewujudkan punca kuasa bagi pelaksanaan hukuman khidmat masyarakat oleh PBT di seluruh negara.
“Akta 672 turut akan dipinda dan penguatkuasaan akan meliputi negeri-negeri yang menerima pakai akta tersebut,” jelasnya.