KDN jamin isu 12,000 pelajar tanpa dokumen pengenalan diri akan diselesaikan
Kerajaan memberi komitmen bagi menyelesaikan isu 12,000 pelajar yang berada dalam sistem pendidikan arus perdana tetapi tidak memiliki dokumen pengenalan diri.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihak kementeriannya akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) telah membuat profil pelajar terbabit.
“Mereka ini ada di sekolah rendah dan sekolah menengah tapi tidak memiliki dokumen pengenalan diri, misalnya perkahwinan ibu bapa yang tidak teratur menyebabkan mereka tidak mendaftar perkahwinan, ini rekod KPM yang dikongsi dengan KDN sekitar 12,000 pelajar.
“Jumlah ini dikenal pasti kerana mereka telah berdaftar dengan Pejabat Pendidikan Daerah, tetapi KDN serta KPM akan mengemas kini data kalau ada yang tercicir dalam kategori sama,” katanya selepas menyampaikan dokumen pengenalan diri kepada enam penerima pada Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) di Sekolah Kebangsaan Pulau Mabul di Semporna pada Ahad.
Mengulas lanjut Saifuddin berkata, isu tiada dokumen pengenalan diri akan memberi impak besar kepada kelangsungan hidup individu terbabit.
Justeru Jabatan Pendaftaran Negara tampil membantu golongan itu mendapatkan pengenalan diri melalui program Mekar dengan turun padang ke kawasan pedalaman terutama di Sabah dan Sarawak sekali gus membuktikan kesungguhan kerajaan menyantuni komuniti pedalaman.
“Apabila berlaku keadaan mendaftar lewat, wujud situasi anak ke sekolah tiada pengenalan diri atau kalau tidak ada sijil lahir bila tamat sekolah, susah untuk sambung pelajaran.
“Kalau sakit, demam pergi ke hospital dikenakan bayaran mahal, jadi hari ini kami mahu segerakan.
BACA LAGI: Depot tahanan Imigresen baharu di Jawi beroperasi sepenuhnya Disember ini
“Jadi JPN turun mencari masyarakat yang sakit terdampar di rumah, termasuk mencari mereka di rumah jagaan atau rumah orang tua (untuk)dibantu berkaitan dokumen pengenalan diri,” katanya.
Saifuddin turut memberitahu, sehingga kini sebanyak 188 program Mekar sudah dilaksana yang sekaligus memberi manfaat besar kepada kumpulan sasar.