Kerajaan umum bantuan RM400 untuk lebih 300,000 pekebun kecil terjejas banjir
Kerajaan MADANI berusaha memastikan pihak terjejas banjir pada musim tengkujuh tahun ini mendapat bantuan sewajarnya.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengumumkan kerajaan memperuntukkan lebih RM127 juta bagi membantu golongan pekebun kecil.
Pada sidang media selepas Majlis Perasmian RissMart 24 dan Pelancaran Syiling Jubli emas Risda di Shah Alam pada Isnin beliau berkata, ia akan melibatkan 318,642 pekebun Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Felda dan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS).
Pekebun kecil terlibat akan menerima keseluruhan RM400, dibayar dua kali sebanyak RM200 masing-masing untuk November dan bulan ini yang akan disalurkan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
“Mereka akan dibayar sebanyak dua kali untuk November dan Disember dengan RM200 sebulan bagi setiap keluarga.
“Manakala bagi kawasan lain kita akan mendapat perangkaan daripada pegawai Risda daerah untuk dikemukakan ke peringkat negeri,” katanya sambil memaklumkan pembayaran sudah mula diagihkan kepada pekebun terjejas.
Sementara itu Dr Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara memaklumkan situasi banjir di seluruh negara mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan, dengan jumlah mangsa yang dipindahkan di PPS mencatatkan trend penurunan.
BACA LAGI: Bantuan untuk petani terjejas banjir akan disalurkan segera – Menteri KPKM
Bagaimanapun beliau mengingatkan penduduk di Pahang dan Johor yang bakal berdepan musim banjir bersiap siaga dan segera berpindah apabila diarahkan pihak berkuasa.
“Difahamkan keadaan di Kelantan dan Terengganu semakin mereda dan luruan laluan air ini akan ke Pahang dan Johor, susulan itu saya memohon penduduk di kawasan rendah di negeri terlibat harus bersiap siaga,” katanya.