Semasa

PM Anwar beri komitmen teliti memorandum bantahan Akta Mesin Cetak

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi komitmen bahawa pentadbirannya akan meneliti memorandum bantahan berkaitan cadangan pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA).

Iltizam itu dinyatakan Anwar menerusi satu hantaran di laman Facebooknya susulan menerima memorandum bantahan kepada pindaan yang dicadangkan itu.

“Setiausaha Akhbar Kanan, saudara Tunku Nashrul Abaidah telah mewakili saya untuk menerima memorandum bantahan pindaan undang-undang terkait media di pekarangan Parlimen,

“Insya-Allah kerajaan menerusi Kementerian berkaitan akan meneliti setiap bantahan, kritikan dan cadangan yang dibangkitkan bagi menjamin suasana positif untuk industri media, di samping menjaga hak dan kebebasan mereka,” katanya pada Rabu.

Terdahulu lebih 50 petugas media mewakili antaranya Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJM), kumpulan prokebebasan media Gerakan Media Marah (Geramm) dan NGO Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) berkumpul di pintu masuk Parlimen.

Mereka membantah pindaan yang dicadangkan Kementerian dalam Negeri itu yang antara lain dilapor akan memperkenalkan semula skim pelesenan tahunan untuk penerbitan media dan memperluaskan PPPA kepada media atas talian.

BACA LAGI: Pindaan Akta 588, Kerajaan usul hukuman lebih berat

Pada Selasa Menteri KDN Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan pembentangan cadangan pindaan PPPA ditangguh sementara menunggu libat urus dengan semua pihak berkepentingan.

Jelas Saifuddin, kerajaan mengutamakan pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM) yang turut memberi kesan kepada wartawan dan industri media.

Related Articles

Back to top button