Semasa

RCI Batu Puteh: Suruhanjaya syor Mahathir disiasat bawah Kanun Keseksaan

Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mengesyorkan siasatan jenayah dimulakan terhadap Dr Mahathir Mohamad.

Ia susulan Malaysia kehilangan Pulau Batu Puteh kepada Singapura selepas pentadbiran Mahathir pada 2018 menarik balik permohonan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Antarabangsa (ICJ) mengenai wilayah itu.

Menerusi laporan setebal 217 muka surat yang dinyah klasifikasikan dan diedarkan kepada Ahli Parlimen di Dewan Rakyat pada Khamis, Suruhanjaya itu mendapati Dr Mahathir secara unilateral memutuskan tidak meneruskan permohonan menyemak dan mentafsir keputusan ICJ pada 2008 mengenai Batu Puteh.

Ia melalui surat kepada peguam cara negara pada 21 Mei 2018 yang menyatakan bahawa: “Pada pandangan saya, usaha ini tidak perlu diteruskan”.

“Peguam cara negara memaklumkan Singapura tentang hasrat Malaysia menggugurkan dua permohonan itu berdasarkan surat Mahathir pada 21 Mei, bukan keputusan Kabinet ketika bermesyuarat pada 23 Mei,” kata laporan RCI itu.

RCI itu juga dipetik laporan media berkata, suruhanjaya tidak boleh menerima dakwaan Mahathir bahawa surat 21 Mei itu hanyalah pendapat peribadi beliau. Sebaliknya, surat itu adalah keputusan.

“Memetik surat daripada peguam negara kepada perdana menteri pada 24 Mei 2018, yang menyatakan bahawa beliau telah memaklumkan Singapura berdasarkan surat Mahathir pada 21 Mei.

“Mahathir tidak mempersoalkan, menafikan atau membetulkan kandungan surat peguam negara kepada beliau untuk menjelaskan bahawa surat 21 Mei beliau hanyalah pendapat peribadi beliau, bukan perintah atau keputusan,” kata Suruhanjaya itu.

BACA LAGI: Kerajaan pertahan kedaulatan negara, tidak layan sebarang tuntutan termasuk di Sabah

“Oleh itu, adalah dicadangkan supaya satu laporan polis dibuat oleh setiausaha suruhanjaya bagi membolehkan siasatan ini dimulakan,” kata Suruhanjaya itu yang menyarankan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan.

Seksyen tersebut merangkumi penipuan dengan sengaja untuk memperdayakan seseorang sehingga mengakibatkan orang itu menyerahkan sebarang harta kepada sesiapa; atau memberi atau melakukan sesuatu, yang mana orang itu tidak akan lakukan jika tidak ditipu.

Related Articles

Back to top button