KPM sedang jalankan penilaian kerosakan di sekolah terjejas banjir
Kementerian Pendidikan (KPM) kini dalam proses penilaian bagi mendapatkan jumlah kos untuk kerosakan dialami sekolah yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.
Perkara itu dinyatakan Menterinya Fadhlina Sidek selepas menyertai satu acara di Seberang Jaya, Pulau Pinang pada Ahad.
“Gelombang pertama kita sudah ada bilangannya, cuma sedang dikenal pasti dari segi unjuran kos (kerosakan) yang terbabit.
“Pada masa sama, kita juga sedang membuat persiapan untuk menghadapi kemungkinan lain (banjir gelombang kedua),” katanya.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada Sabtu memaklumkan, kementeriannya akan segera menyalurkan peruntukan bagi membaik pulih sekolah yang terjejas akibat banjir.
Akan dilaksana melalui kerjasama dengan KPM, ia bagi memastikan sekolah terbabit dapat beroperasi semula dengan lebih cepat.
Sementara itu Fadhlina sebagai mengulas perkembangan berkaitan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berkata, pihaknya berpuas hati dengan semua persiapan yang kita laksanakan.
“Jadi persiapan dalam keadaan sangat baik, Ops Payung pun sudah diaktifkan untuk sebarang kejadian ataupun bencana,” katanya.
BACA LAGI: Peruntukan baiki sekolah terjejas banjir akan disalurkan segera – Menteri Kewangan II
Ujian Amali Sains SPM yang dijadualkan berlangsung pada 9, 10 dan 12 Disember ini diikuti ujian bertutur Bahasa Inggeris.
KPM sebelum ini memaklumkan, semua calon SPM terjejas akibat banjir berjaya menduduki Ujian Bertutur Bahasa Melayu yang bermula 2 Disember lalu selepas operasi memindahkan mereka melalui Ops Payung selesai sepenuhnya.