Dewan Rakyat luluskan pindaan Akta Profesion Undang-Undang
Dewan Rakyat pada Isnin meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Undang-Undang (Pindaan) 2024.
Pindaan itu yang antara lain memberi kuasa kepada Ketua Audit Negara untuk mengaudit akaun Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas 10 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said ketika membentangkan RUU berkenaan bagi bacaan kali kedua berkata melalui kuasa itu, Ketua Audit Negara dapat menjalankan audit secara berkala, memastikan semua transaksi kewangan dijalankan dengan betul dan mengikut prosedur ditetapkan.
“Langkah ini amat penting untuk memastikan ketelusan dan integriti dalam pengurusan kewangan lembaga terbabit, sekali gus meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap sistem perundangan,” katanya.
Pada 3 Disember lalu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri (BHEUU) dalam satu kenyataan berkata RUU itu melibatkan penambahbaikan amalan undang-undang di Malaysia.
Pindaan ini merangkumi penubuhan perkongsian guaman liabiliti terhad sebagai model firma guaman baharu, formalisasi Pusat Bantuan Guaman Majlis Peguam, pindaan kepada subseksyen 77(1) bagi membenarkan pengawal seliaan amalan, kesopanan, kelakuan dan tatatertib profesional peguam bela dan peguam cara serta penambahbaikan kepada proses pendaftaran peguam dan latihan praktikal bagi pelatih dalam kamar.
BACA LAGI: Parlimen akan bahas dapatan RCI berkaitan Batu Puteh – Johari
Pindaan itu juga membenarkan penubuhan firma guaman sebagai perkongsian liabiliti terhad selaras dengan Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012 selain membenarkan Pusat Bantuan Guaman Majlis Peguam menubuhkan satu atau dua cawangan dalam mana-mana negeri di luar pejabat utama.
Azalina berkata pindaan akta itu penting dalam memastikan profesion undang-undang di Malaysia kekal relevan, berdaya saing dan terus maju seiring dengan perkembangan semasa.