Penduduk Tangkak terjejas banjir terima sumbangan PM Anwar
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyantuni penduduk yang terkesan bencana banjir di sekitar Tangkak.
Pada Isnin beliau menyerahkan sumbangan kepada 50 ketua isi rumah (KIR) yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna Penghulu Long.
Sumbangan berupa kit makanan dan selimut itu diserahkan menerusi Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Perdana Menteri, M Shanmugam
Hadir sama, Pentadbir Tanah Daerah Tangkak Ab Rahman Mohamed@Ismail dan Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Lt Jen (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal.
Shanmugam ketika ditemui pemberita berkata bantuan dihulurkan Perdana Menteri bertujuan meringankan beban ditanggung mangsa banjir yang terkesan dengan bencana itu.
“Kita bantu mereka yang memerlukan bantuan tanpa mengira agama atau bangsa selaras dengan konsep Malaysia MADANI.
“Kita akan teruskan usaha begini di semua tempat terkesan banjir dengan kerjasama daripada agensi kerajaan Persekutuan dan negeri,” katanya.
BACA LAGI: Peruntukan baiki sekolah terjejas banjir akan disalurkan segera – Menteri Kewangan II
Johor antara negeri yang terjejas banjir baru-baru ini, pada Ahad seramai 436 mangsa dipindahkan ke 13 PPS.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan, PPS yang dibuka melibatkan 10 buah di Segamat, dua PPS di Tangkak dan satu di Batu Pahat.