Tubuh tabung khas bantu waris biayai kos pengurusan jenazah – Exco Selangor
EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari menyarankan agar tabung khas diwujudkan bagi membantu waris yang tidak berkemampuan membiayai bil tuntutan pengurusan jenazah termasuk di hospital swasta.
Mengulas insiden bayi “ditahan” dalam peti sejuk yang menjadi perhatian ramai baru-baru ini beliau berkata, kewujudan tabung khas itu bagi mempercepatkan pelepasan berkaitan tuntutan pengurusan jenazah agar insiden sama membabitkan bayi malang itu tidak berulang.
“Kita akan mengusulkan kepada KKM (Kementerian Kesihatan) untuk buat dasar itu termasuk wujudkan satu tabung atau dana khas yang boleh diberikan kepada penerima bantuan khususnya waris dalam kes-kes berkenaan.
“Langkah ini juga adalah fardu kifayah kepada umat Islam khususnya dalam mempercepatkan pengurusan jenazah selepas berlakunya kematian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Wanita Berdaya Selangor (WBS) dan Future Laboratory Sdn Bhd (FutureLab) di Shah Alam pada Selasa.
Anfaal yang juga ADUN Taman Tampler berkata beliau juga akan mengusulkan perkara sama kepada pengurusan zakat di negeri Selangor bagi melakukan perkara yang sama.
Sebelum ini, tular menerusi media sosial kisah jenazah bayi lelaki yang didakwa ditahan dan disimpan dalam peti sejuk mayat selama dua minggu oleh sebuah hospital swasta selepas bapanya tidak mempunyai wang untuk membayar bil.
BACA LAGI: Perbincangan untuk pelaksanaan sistem DRG giat diadakan
Sementara itu sebagai mengulas perkembangan kes berkenaan beliau berkata, kedua-dua pihak iaitu waris dan hospital mempunyai hujah masing-masing .
Justeru pihak kerajaan negeri masih menunggu maklumat sahih daripada siasatan polis dan KKM sebelum tindakan lanjut boleh dilaksana.