5 RUU berkaitan aktiviti perniagaan di Labuan diluluskan
Dewan Negara pada Rabu meluluskan lima rang undang-undang (RUU) berkaitan aktiviti perniagaan di Wilayah Persekutuan Labuan.
RUU dibawah Kementerian Kewangan itu membabitkan RUU Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan (Pindaan) (No 2) 2024 dan RUU Syarikat Labuan (Pindaan) 2024, RUU Amanah Labuan (Pindaan) 2024, RUU Undang-Undang Yayasan Labuan (Pindaan) 2024 serta RUU Perkongsian Terhad dan Perkongsian Liabiliti Terhad Labuan (Pindaan) 2024.
Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata, pindaan RUU Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan (Pindaan) (No 2) 2024 bertujuan untuk meminda Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan 1990 bagi menambah baik struktur pentadbiran percukaian Labuan.
Penambahbaikan tersebut akan melalui pengenalan sistem taksir sendiri, pelaksanaan taksiran asas tahun semasa dan pengemukaan dokumen kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri melalui medium elektronik.
Bagi RUU Syarikat Labuan (Pindaan) 2024, Lim berkata RUU ini bertujuan untuk meminda Akta Syarikat Labuan 1990 (Akta 441) dengan memasukkan peruntukan baharu yang berhubung dengan rangka kerja pelaporan dan penzahiran maklumat pemunyaan benefisial.
“RUU ini perlu segera dibentangkan di Parlimen dan diluluskan sebagai persediaan untuk sesi penilaian tersebut bagi memastikan Malaysia dan Labuan IBFC mendapat penarafan yang baik, seterusnya membantu meningkatkan imej Malaysia dan Labuan IBFC serta boleh menarik pelaburan asing ke Malaysia,” katanya.
Beliau sebelumnya memaklumkan Malaysia termasuk Labuan IBFC akan dinilai buat kali keempat oleh badan antarabangsa Financial Action Task Force (FATF) yang dijadual berlangsung pada Februari tahun depan.
Pindaan ini juga jelasnya turut menjana ekonomi Labuan yang dapat meningkatkan peluang pekerjaan dan selari dengan Pelan Hala Tuju Strategik Labuan FSA 2022-2026 yang berpotensi membawa peluang pembangunan kepada pulau tersebut terutamanya dalam sektor baharu seperti kewangan digital, captive kewangan Islam dan pengurusan harta.
Bagi RUU Amanah Labuan (Pindaan) 2024, Lim berkata RUU ini bertujuan untuk meminda Akta Amanah Labuan 1996 (Akta 554) yang bertujuan untuk memasukkan peruntukan baharu berkaitan dengan rangka kerja pelaporan dan penzahiran maklumat pemunyaan benefisial berdasarkan amalan kewangan antarabangsa terbaik yang disarankan oleh FATF.
“Rang Undang-Undang ini juga akan memansuhkan elemen yang telah dikenal pasti sebagai amalan percukaian yang memudaratkan di bawah piawaian percukaian antarabangsa OECD,” katanya.
BACA LAGI: Kajian teknikal pembinaan Jambatan Labuan-Menumbok bermula tahun depan
RUU tersebut mempunyai enam fasal yang turut mengandungi pindaan seksyen 54 Akta 554 untuk menaikkan jumlah maksimum penalti am daripada RM10,000 kepada RM50,000.
Sementara itu Lim yang juga Ahli Parlimen Tanjong menyatakan komitmen kerajaan untuk memberikan komitmen dan perhatian terhadap pembangunan infrastruktur Pulau Labuan.