KPDN umum 14 barangan kawalan dibawah SHMMP Krismas
Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2024 dikuatkuasa selama lima hari bermula 23 Disember ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali ketika mengumumkan pelaksanaan skim itu semalam berkata, ia membabitkan 14 barangan yang dikawal bagi musim perayaan Krismas pada tahun ini.
Barang berkenaan meliputi ayam tua hidup (di Sarawak saja), kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing), lobak merah, tomato, cili merah, lada benggala hijau, bawang merah besar import, bawang kuning besar, ubi kentang import China dan babi hidup (peringkat ladang sahaja).
Katanya penguatkuasaan kawalan harga maksimum bagi kepak ayam, daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak) memfokuskan kepada bekalan di Sabah, Sarawak serta Labuan saja.
“Penentuan harga ini dibuat dengan mengambil kira pandangan daripada rakan strategik kementerian iaitu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi kerajaan dan pemain industri,
“Pengguna dapat menikmati harga yang berpatutan dan peniaga pula tidak tertekan dengan tempoh masa pelaksanaan yang terlalu lama.
“Senarai barangan, paras harga maksimum dan tempoh pelaksanaan ditentukan berdasarkan beberapa faktor seperti ketersediaan penawaran, kos semasa, cuaca, kadar upah dan faktor-faktor lain-lain,” katanya pada sidang media mengumumkan skim itu sempena Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) Krismas di UTC Sentul, di sini hari ini.
Turut hadir Timbalannya, Fuziah Salleh dan Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Mohd Sayuthi Bakar.
BACA LAGI: DBKL urus sepenuhnya lesen bazar Ramadan, elak kenaikan harga sewa tapak
Sementara itu Armizan berkata, orang ramai juga boleh menyemak harga maksimum yang ditetapkan untuk skim perayaan itu di peringkat pemborong dan peruncit, menerusi laman web www.kpdn.gov.my.
Sementara pegawai penguatkuasa KPDN di seluruh negara turut akan ditugaskan di lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah barangan keperluan perayaan bagi menjalankan pemeriksaan serta penguatkuasaan untuk melindungi pengguna daripada peniaga yang tidak beretika.