Semasa

PM jangka kertas draf pengasingan kuasa AG siap pertengahan tahun depan

Draf kertas Kabinet mengenai pengasingan kuasa antara Peguam Negara (AG) dan Pendakwa Raya (PP) dijangka siap pada pertengahan tahun depan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan pembahagian fungsi antara Peguam Negara dan PP telah diterima oleh Kabinet dan seorang menteri telah ditugaskan bersama dengan pasukan petugas untuk menelitinya.

“Saya belum lihat draf itu, tetapi kertas kerja yang dibentangkan setakat ini ialah keputusan dasar sama ada kita bersetuju dengan pengasingan itu yang telah diluluskan oleh Kabinet,” katanya dalam sidang media di Subang Jaya pada Sabtu.

Pada Mac 2023, Anwar di Dewan Rakyat mengumumkan bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan untuk memisahkan pejabat pendakwa raya daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Pengasingan peranan AG dan PP bertujuan meningkatkan kebebasan dan integriti sistem perundangan, memastikan keputusan pendakwaan dibuat tanpa pengaruh yang tidak wajar dan Peguam Negara boleh bertindak sebagai penasihat undang-undang yang tidak berat sebelah kepada kerajaan.

BACA LAGI: Kerajaan MADANI komited pastikan infrastruktur asas luar bandar mencukupi

Sementara itu Anwar mengakui usaha pembahagian fungsi itu cukup rumit, dan mengambil masa untuk disiapkan kerana ia memerlukan banyak pindaan, termasuk Perlembagaan Persekutuan. Bagaimanapun beliau optimis usaha tersebut mampu dijayakan.

“Usaha ini pasti akan berjaya dilaksanakan, diharapkan pada pertengahan tahun depan,” jelasnya.

Related Articles

Back to top button