ASEAN: APAEC, APG berkaitan tenaga keutamaan PETRA
PUTRAJAYA: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) mengutamakan dua Keberhasilan Ekonomi Berkeutamaan (PED) berkaitan tenaga di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025.
Menterinya, Datuk Seri Fadilah Yusof berkata, keutamaan itu adalah Pelan Tindakan Kerjasama Tenaga ASEAN (APAEC) 2025, Fasa 1: 2026 hingga 2030, dan Memorandum Persefahaman (MOU) Peningkatan Rangkaian Kuasa ASEAN (APG).
“Dua dokumen dasar ini adalah penting untuk memastikan kerjasama berterusan dalam kalangan negara anggota ASEAN seterusnya menjamin bekalan dan kemampanan tenaga di rantau ASEAN,” katanya berucap pada Majlis Peluncuran Penganjuran Mesyuarat-Mesyuarat Tenaga ASEAN 2025, di sini pada Isnin.
Fadilah yang juga Timbalan Perdana Menteri memaklumkan, inisiatif APG akan menjadi fokus dalam semua mesyuarat berkaitan, dengan tujuan memuktamadkan MOU APG pada tahun ini.
“Kandungan MOU itu antara lain memberi penekanan meningkatkan keupayaan infrastruktur talian penghantaran tenaga elektrik dalam kalangan negara ASEAN supaya lebih banyak tenaga elektrik, terutamanya tenaga berasaskan sumber bersih seperti hidro, solar dan angin diperdagangkan merentasi sempadan.
“Usaha itu secara langsung dapat mengoptimakan penggunaan sumber tenaga bersih, menjamin bekalan tenaga kepada rakyat dan memanfaatkan negara-negara di rantau ASEAN,” jelasnya.
Malaysia secara rasminya menjadi Pengerusi ASEAN pada 1 Jan lepas dengan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’. Malaysia pernah menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015.
Sehubungan itu, PETRA akan mempengerusikan tiga mesyuarat utama sektor tenaga: Mesyuarat Khas Pegawai Kanan Tenaga di Langkawi, Kedah (22 hingga 24 Januari), Mesyuarat Pegawai Kanan Tenaga di Kuching, Sarawak (16 hingga 20 Jun), dan Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN di Kuala Lumpur (22 hingga 26 September).