Anwar

Pertemuan pemimpin utama Malaysia-Jepun perkuat ASEAN

PETALING JAYA: Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba memulakan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia bermula hari ini.

Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia merupakan lawatan pertama beliau ke Malaysia sejak memegang jawatan pada Oktober 2024.

“Lawatan ini bertujuan memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Jepun terutamanya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pembangunan sumber manusia serta kerjasama dalam bidang tenaga.

“Kedua-dua Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Shigeru Ishiba dijangka meneliti semula kemajuan hubungan dua hala dan bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, termasuk situasi di Timur Tengah,” katanya.

Menurut kenyataan itu, hubungan Malaysia dengan Jepun telah bertambah kukuh sejak dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada Disember 2023.

Untuk rekod, sehingga Jun 2024, sejumlah 2821 projek pembuatan dengan penglibatan Jepun telah dilaksanakan di Malaysia dengan jumlah pelaburan sebanyak RM105.2 bilion (USD30.4 bilion).

Projek-projek itu telah menjana peluang pekerjaan untuk 344,996 orang dan Jepun merupakan pelabur luar negara keempat terbesar daripada segi projek pembuatan yang dilaksanakan.

Jepun merupakan rakan perdagangan Malaysia dengan jumlah perdagangan sebanyak RM156.75 bilion (USD34.41 bilion) pada tahun 2023.

Perdagangan Malaysia-Jepun di antara Januari dan November 2024 telah mencatat jumlah perdagangan sebanyak RM140.62 bilion (USD30.67 bilion).

Related Articles

Back to top button