Usahawan cenderamata Pasar Seni siap sedia sambut pelancong ASEAN 2025

PETALING JAYA: Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2025 telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menarik pelabur daripada pelbagai sektor khususnya pelancongan.
Kehadiran pelancong ke negara ini sedikit sebanyak menyumbang kepada peningkatan ekonomi.
Menurut Raz Nur Syahirah, 29, seorang usahawan cenderamata di Pasar Seni, Kuala Lumpur, persiapan rapi telah diambil untuk menarik pelancong yang hadir sempena tahun Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN 2025.
Katanya, cenderamata yang dijual menawarkan produk bercirikan budaya Malaysia seperti batik, songket, wau, keris dan ukiran kayu.
“Kami juga mengambil langkah strategi pemasaran dengan menghasilkan cenderamata khas bertemakan ASEAN 2025 untuk menarik pelancong dari negara anggota ASEAN.
“Bukan itu sahaja, kami juga menyediakan produk eksklusif edisi terhad yang hanya boleh didapati semasa tahun Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN,” katanya ketika ditemui.
Selain itu, Raz berkata, capaian yang lebih mudah dan menyeluruh membantu meningkatkan hasil jualan dengan menggunakan platform e-dagang seperti Shopee, Lazada dan TikTok Shop.
“Pembelian secara atas talian kini memberi impak yang besar terutamanya untuk menjual cenderamata kepada pelancong yang ingin membeli selepas melancong.
“Media sosial, sebagai contoh, memudahkan akses dan kami menyediakan laman web atau media sosial dalam pelbagai bahasa (Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Thai) untuk menarik pelancong asing membeli produk tempatan,” jelasnya.
Tambah beliau, penyediaan kemudahan pembayaran antarabangsa seperti kad kredit, e-wallet (Alipay, WeChat Pay) dan mata wang digital turut disediakan.
“Jujur saya kata, penyediaan ini secara tidak langsung mengurangkan penggunaan mata wang tunai serta memudahkan transaksi pelancong asing ketika sesi pembelian,” katanya.
Pada 1 Januari tahun ini, Malaysia diberi tanggungjawab sekali lagi mempengerusikan ASEAN, menjadikan ini antara fokus utama agenda nasional tahun 2025.
Selaku Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia mempunyai peluang terbaik untuk mengemudi blok ini selaras dengan Wawasan Komuniti ASEAN 2045 dan komited untuk melakarkan hala tuju ASEAN yang lebih berdaya tahan, kreatif serta mengutamakan rakyat.