MCMC siasat individu terkait kandungan palsu ketua hakim negara

CYBERJAYA: Seorang individu disiasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) selepas didakwa memuat naik kandungan palsu dan jelik melampau berkaitan isu pelantikan Ketua Hakim Negara menerusi akaun Instagram miliknya.
Dalam satu kenyataan MCMC berkata, siasatan dijalankan bagi memastikan tindakan tegas diambil terhadap penyebaran maklumat yang boleh menjejaskan integriti institusi kehakiman dan kepercayaan awam.
“Rakaman percakapan individu terbabit telah diambil pada pukul 2.30 petang tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya bagi membantu siasatan.
“Turut disita, satu unit telefon bimbit dan satu unit kad SIM bagi tujuan analisis forensik digital,” menurut kenyataan itu.
Kata MCMC, kes itu disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000, penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
MCMC turut menegaskan bahawa penyebaran kandungan palsu yang menyentuh isu kehakiman bukan sahaja melanggar undang-undang, malah berpotensi mengganggu ketenteraman negara.
“Tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” menurut kenyataan itu lagi.