PMX Jadi Pengaman Thailand- Kemboja Selamatkan Ribuan Nyawa – Akmal Saleh

PETALING JAYA: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh memberi teguran terbuka terhadap sikap segelintir pihak yang menggunakan sentimen kebencian dan penghinaan dalam wacana politik semasa.
Beliau berkata ia termasuk mendoakan kebinasaan sesama Muslim serta melemparkan kata-kata kesat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam konteks himpunan ‘Turun Anwar’.
“Ada yang menyamakan beliau dengan monyet dan pemimpin negara asing lain seperti binatang, sedangkan perbincangan itu adalah untuk menyelamatkan ribuan nyawa akibat peperangan antara dua negara,” tegasnya menerusi Facebook pada Selasa.
Dr Akmal turut mengingatkan bahawa perbezaan pendapat dalam politik adalah lumrah, namun ia mesti berasaskan fakta, bukan emosi yang tidak matang. Beliau menyelar sikap yang cuba membenarkan perbuatan salah dengan merujuk kepada kesilapan pihak lain pada masa lalu.
“Jika orang sebelum ini makan najis, adakah kita juga mahu buat perkara yang sama? Sudah tentu tidak, kerana kita tahu itu perkara yang kotor,” katanya lagi.